Monday, December 19, 2011

~DIALOG MUHAMMAD MUKHTAR DAN PADERI DI KAHERAH~


Hasil tulisan daripada blog USTAZAH FATIMAH SYARHA NOORDIN.. dan

~Kisah ini dipetik daripada kitab tulisan Abdul Muta’al as-Sa’idy berkenaan dialog Islam-Kristian. 


Kitab itu mengisahkan dialog antara Paderi Z (bukan nama sebenar) yang datang ke Kaherah bagi menyebarkan agama Kristian dengan Muhammad Mukhtar, seorang remaja Muslim di Kaherah yang dididik dengan asuhan agama yang mantap sejak kecil.
Mereka mengadakan beberapa siri dialog yang membeliakkan mata hati ramai orang berkenaan kejernihan dan keadilan Islam yang selama ini disalah fahami.

Soalan Paderi: Islam agama poligami?

Dalam dialog kelima, Paderi Z bertanya Muhammad Mukhtar, 
“Mengapa anda berpendapat Islam berlaku adil kepada wanita, bukan menghinakannya? Padahal Islam membenarkan poligami, sedangkan poligami ini besar bahayanya kepada mereka dan mencipta pertengkaran dalam kehidupan suami isteri. Padahal kehidupan suami isteri perlu dijalankan dengan kerjasama secara ikhlas. Keikhlasan pula terbina dalam kerjasama di dalam rumah, kekayaan ataupun anak-anak.” 

Jawapan untuk Paderi

•Islam membela wanita dengan mengehadkan poligami
Anda terlalu ekstrim meletakkan Islam agama poligami. Seolah-olah Islam memulakan poligami. Seolah-olah juga Islam membenarkan apa yang dilarang agama-agama sebelumnya seperti zina dan maksiat. Padahal Islamlah yang datang membela wanita dengan mengehadkan poligami tanpa batas kepada had maksimum empat orang sahaja. Islam pembela!

•Poligami hanyalah harus, bukan wajib ataupun sunnah
Islam meletakkan kebolehan poligami bukanlah sebagai sesuatu yang wajib ataupun sunnah, melainkan hanya ketetapan harus. Ketetapan harus dalam poligami adalah hukum yang sungguh terpuji, kerana sesuai dengan sifat Islam sebagai agama universal, yang berlaku untuk segala masa dan tempat serta segala jenis bangsa. Hukum harus tidaklah sama dengan empat ketentuan hukum yang lain iaitu wajib, sunnah, makruh dan haram.

•Hukum yang elastik
Dengan demikian, harus boleh diterapkan pada kebanyakan hukum, sehingga pihak pemerintah dapat melakukan perubahan atau menggantikannya sesuai dengan tuntutan situasi dan keadaan. Poligami dalam Islam termasuk hukum yang elastik, sehingga hukum poligami berlaku menurut tuntutan keperluan. Sekiranya ternyata dalam sesuatu masyarakat itu, poligami menimbulkan hal-hal yang merosakkan, pemerintah berhak mengadakan larangannya.

•Mengapa Islam tidak mengharamkannya secara mutlak?
Sekiranya Islam melarang poligami secara mutlak, nescayalah manusia akan mengalami kesukaran sepanjang zaman. Misalnya keadaan sesudah perang yang pada umumnya jumlah wanita lebih ramai daripada lelaki, dan umat tersebut amat memerlukan pertambahan penduduk selepas perang bagi menggantikan mereka yang mati sebagai korban perang. Keadaan seperti itu memerlukan sistem poligami, jerana poligami adalah cara terbaik bagi mengelakkan penzinaan. 
Walaupun dalam sistem poligami itu terdapat hal-hal yang negatif, sebenarnya keburukan itu terdapat pada perlaksanaan bukan pada hakikat keharusan poligami itu sendiri. Namun dalam keadaan tertentu, keburukannya jauh lebih kecil berbanding penzinaan. Penzinaan selamanya berbahaya dan menimbulkan kerugian besar, baik terhadap kesihatan tubuh, keluarga dan lingkungan kehidupan umat. Ia juga membuat yang terlibat menjadi tidak produktif apabila membiarkan diri dikuasai oleh dorongan seksual kebinatangan.

•Bagaimana Islam Menyelesaikan Penyalahgunaan Poligami?
Islam tidaklah melupakan adanya bahaya poligami kerana penyalahgunaan. Kerana itu Islam menetapkan syarat-syarat yang ketat, iaitu poligami hanya dibenarkan untuk orang yang yakin mampu berlaku adil sesama isterinya, agar kehidupan rumahtangganya terjaga dengan baik, penuh rasa ikhlas, penuh keterbukaan dan kejujuran antara isteri dan suami, antara anak-anak, ayah dan ibu-ibu mereka.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’, ayat 3, maksudnya, 
Dan jika kamu takut tidak akan berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bila mana kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita yang kamu senangi, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang sahaja, atau (kahwinilah) hamba-hamba yang kamu miliki. Yang demikian itu lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.

•Poligami, satu keringanan (rukhsah) yang amat ketat syaratnya 
Firman Allah SWT lagi dalam surah yang sama, ayat 129, maksudnya,
Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri(mu), walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, kerana itu janganlah kamu cenderung (kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain terkontang-kanting. Dan jika kamu mengadakan perbaikan dan memelihara diri (dari kecurangan), maka Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Ayat ini menjelaskan, sikap adil yang menjadi syarat keharusan berpoligami adalah tidak dapat dipenuhi secara mutlak. Kerana itu, seseorang yang mahu lebih selamat kepentingan agamanya, hendaklah ia bermonogomi (berkahwin satu sahaja). Ini bererti poligami pada asasnya dipandang makruh, kerana keharusan ini tidaklah begitu sahaja dapat dilaksanakan dan tidak terlepas daripada sifat makruh, tanpa ada keperluan yang mendesak.

•Keharusan yang makruh
Poligami yang keharusannya bersyarat bukanlah timbul kerana serangan-serangan terhadap hukum poligami pada zaman ini, akan tetapi seorang alim besar bernama Syihabuddin Ahmad bin Muhammad bin Ali Rabi’ dalam bukunya Sulukul malik fi tadbiril mamalik, menjelaskan kepada para suami untuk memenuhi enam tugas kepada isteri dan tugas kelimanya adalah sebaik-baiknya bermonogami (berkahwin satu) selagi mana memenuhi kecukupannya. Sebabnya, monogami lebih mampu menegakkan ketertiban rumahtangga. Hal ini dengan jelas menunjukkan bahawa beliau beranggapan berpoligami itu makruh seperti pendapat saya. Cuma, beliau ini berbeza dengan majoriti ulama yang meletakkan hukum asal poligami sebagai harus, tetapi beliau meletakkan hukum asalnya sebagai tidak harus atau haram.

Soalan Paderi: Mengapa Ramai Muslim Masih Berzina?

Sekiranya benar katamu poligami adalah cara terbaik mengelakkan penzinaan, tetapi mengapa dalam masyarakat Islam masih berlaku penzinaan? Ia sama sahaja seperti masyarakat Kristian yang mengharamkannya.

Jawapan untuk Paderi

•Poligami bukan satu-satunya cara mengatasi penzinaan
Saya mengatakan bahawa poligami hanya antara cara, bukannya satu-satunya cara bagi mengatasi penzinaan. Apabila membicarakan soal pembanterasan zina iaitu penghapusan zina secara total, maka poligami semata-mata tidak cukup membanteras penyakit sosial ini. Tetapi ia memerlukan cara yang lain juga iaitu hukuman yang berat ke atas penzina. Semua cara-cara ini bagi mengurangkan penyakit-penyakit sosial yang menimpa kehidupan masyarakat. Menghilangkannya secara total adalah mustahil. 

•Ia mengurangkan bukan menghapuskan penzinaan 
Satu kenyataan yang tidak dapat diragukan, secara perbandingan, penzinaan yang berlaku di negara Islam lebih sedikit daripada penularan zina di negara bukan Islam. Terutamanya apabila hukum-hukum Islam dapat ditegakkan di sesebuah negara itu, dan bukannya terbelenggu di bawah hukum penjajah. Penjajahlah yang memaksa penzinaan dan minuman keras di negara-negara Islam dan hal ini sedia dimaklumi oleh dunia.

Soalan Paderi: Jika poligami itu makruh mengapa Rasulullah berpoligami?

Wahai anak muda, sekiranya anda beranggapan poligami pada dasarnya makruh (dibenci Allah), tetapi mengapa Rasulullah mempraktikkannya? 
Mengapa Baginda berpoligami lebih daripada apa yang diharuskan untuk umatnya? Beliau mengehadkan orang lain beristeri tidak lebih daripada empat orang tetapi beliau beristerikan sembilan orang wanita dalam satu masa. 

Jawapan untuk Paderi

•Hukum poligami turun selepas Rasulullah melakukannya
Perlu diketahui bahawa ketentuan berpoligami turun pada akhir tahun ke-8 hijrah. Padahal Nabi berpoligami dengan sejumlah isteri sebelum tahun itu. Isteri beliau yang terakhir adalah Maimunah puteri al-Harits al-Halaliyah, janda daripada bapa saudara beliau iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib, syuhada Uhud. Beliau juga adalah bapa saudara Abdullah bin Abbas. Perkahwinan ini berlangsung ketika beliau melakukan Umratul Qadha, tahun ke-7 Hijrah. Nabi tidak mencampuri isterinya ini kecuali selepas keluar dari Makkah iaitu di Kampung Sarif. 
Tatkala hukum poligami ini turun dan dilarang berpoligami lebih daripada empat isteri, maka Nabi pun dilarang bagi berkahwin lagi lebih daripada jumlah isteri beliau yang sudah ada. Berkenaan dengan perkara ini, Allah menurunkan firman-Nya dalam surah al-Ahzab, ayat 52 yang bermaksud,
Tidak halal bagimu mengahwini wanita-wanita sesudah itu dan tidak boleh (pula) menggantikan mereka dengan isteri-isteri (yang lain), meskipun kecantikannya menarik hatimu kecuali wanita-wanita (hamba sahaya) yang kamu miliki. Dan adalah Allah maha mengawasi segala sesuatu. 

•Kemaslahatan untuk isteri-isteri Rasulullah, bukan untuk kepentingan baginda
Allah cuma membolehkan Rasulullah meneruskan poligaminya dengan sembilan isterinya, sedangkan orang lain Allah menyuruh menceraikan isterinya apabila berjumlah lebih daripada empat orang. Ia bagi kemaslahatan isteri-isteri Rasulullah kerana mereka tentu tidak reda menerima orang lain sebagai pengganti. Kedudukan orang lain sudah tentu tidak sama seperti kedudukan Rasulullah.
Maka jelas, pengecualian dalam kemaslahatan itu bukannya untuk kepentingan Rasulullah, tetapi untuk kepentingan isteri-isterinya. Sebab itulah isteri-isteri Nabi tidak dihalalkan diambil oleh orang lain sepeninggalan Rasulullah sehingga mereka tetap menyandang pangkat, ibu orang beriman. Jadi baginda tidak dibenarkan menceraikan seorang pun daripadanya, adalah untuk kemaslahatan mereka.

~TERJEMAHAN SURAH AL-A'RAF AYAT 54-56~




<=(54)=> Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang menciptakan langit dan bumi Dalam enam masa lalu ia bersemayam di atas Arasy; ia melindungi malam Dengan siang Yang mengiringinya Dengan deras (silih berganti) dan (ia pula Yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (Semuanya) tunduk kepada perintahNya. ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha suci Allah Yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam. <=(55)=> berdoalah kepada Tuhan kamu Dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang Yang melampaui batas. <=(56)=> dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan Segala Yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadanya Dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga Dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang Yang memperbaiki amalannya.

Sunday, December 18, 2011

MENANTI HADIRMU.. SIRI II~


Melihat keletah si anak kecil yang baru hadir dalam seluruh hidup keluargaku lebih-lebih lagi kakak sulungku Khairunnisa Harun, si ibu baru, memang tak kering gusi..
Sehari tak bertemu qicha (qisha irdina) memang mudah menghadirkan rindu dalam hati... tiap kali mau menghadapi perjalanan pulang ke petagas daripada rumah bonda di papar, mesti rasa berat nak tengok qisha dari sudut kereta.. emm.. baru masuk kereta saja suda rindu...
Seronoknya jadi anak kecil.. tanpa aqal sebelum mencecah usia dewasa, apa saja yang mereka lakukan sentiasa dapat perhatian orang sekeliling, mengukirkan senyum bonda, menghuraikan tawa nenda, menghadirkan rindu ayahanda.. dan yang pasti disayangi oleh semua insan yang merasakan kehadiran mereka..
Hari ini, genap 25 minggu dan 6 hari usia kandunganku.. bermakna sudah mencecah ke 6 bulan usia kandungan... subhanallah, alhamdulillah... sedikit pun tidak terasa betapa cepatnya masa berlalu.. tanpa disedari aku sendiri tengah melalui detik fasa permulaan sebagai seorang ibu.. adalah menjadi tanggungjawabku untuk menjaga janin ini sedari awal usia kandungan sehingga ia lahir dan dewasa.. suami selalu berpesan untuk beri dia didikan awal dari alam rahim.. perdengarkan dia bacaan ayat suci Al-Quran, alunkan dia zikir dan mathurat setiap hari, agar biasa di pendengarannya nanti sehingga ia hadir ke alam dunia...mudah-mudahan menjadi anak yang soleh/solehah, taat orang tua dan yang paling penting menjadi hamba yang bertaqwa kepada Allah swt dan rasul-NYA.. MasyaAllah.. baru kusedar, tanggungjawab kita sebagai ibu/ bakal ibu itu bermula sejak mengandung lagi.. tidak hairanlah bila kita mendengar kesilapan anak-anak itu biasanya bermula daripada ibu bapa yang melahirkan dan memberikan didikan.. nauzubillah.. bukan mudah menjadi ibu dan bapa yang baik, dan yang pasti kita semua mengimpikan anak-anak yang baik..
Pernah ku terbaca tulisan Ustz. Hasrizal Abd. Jamil tentang ibu bapa yang derhaka, yang melahirkan anak yang derhaka juga.. maksudnya, ramai anak-anak dewasa ini yang bamyak melakukan kesalahan adalah berpunca daripada kederhakaan ibu bapa terhadap mereka.. emm.. tidak dinafikan ada betulnya.. ini menekankan tentang sikap ibu bapa yang banyak mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak termasukla sehalus zarah perhatian yang mereka tetap perlukan sehingga dewasa.. emm.. agak rumit untuk menjadai orang tua yang cukup..cukup baik...
Pelbagai bayangan sering muncul dikepalaku sebagai bakal ibu.. seandainya usia masih panjang, dan mudah-mudahan sempat melihat anakanda yang bakal lahir ini dewasa dan berjaya.. InsyaAllah..
Banyak harapan yang baik-baik untuk anak ini... seperti juga kebanyakan orang lain.. apatah lagi anak ini adalah anak pertama kami.. mudah-mudahan menjadi anak yang baik.. amin..
Tiap kali ia bergerak, bagaikan satu tindakan kinetik aku seringkali mengukir senyum yang tidak dirancang.. huhu.. macam tak percaya, ada ruh di rahim ini.. lebih-lebih lagi bila kita alunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, pasti ia bergerak lebih kuat dan aktif..
Emm.. ini satu lagi perkara yang ingin kukongsikan buat yang belum mengetahui, beberapa hari lalu (tarikh tak ingat), bila menonton rancangan Halaqah, di tv9 tajuk Pengembaraan Janin.. hampir menitis airmata dan meremang juga bulu roma mengenangkan kekuasaan tuhan yang tiada tandingannya... benarlah kekuasaan Allah swt itu ada dimana-mana sahaja sehingga ke dalam diri manusia itu sendiri.. rawan rasa hati apabila Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail selaku panel jemputan hari itu menegaskan bahawa, janin di dalam rahim ibu yang mengandung itu akan aktif bergerak dan mengubah posisinya menjadi sujud apabila mendengar alunan bacaan aya-ayat suci Al-Quran.. SUBHANALLAH... kelu lidah, kelam aqal dan lumpuh jari jemari mendengar penjelasan tersebut yang turut diiringi dengan sedutan visual pergerakan janin dalam rahim yang diiringi bacaan Al-Quran oleh seorang qari jemputan.. MasyaAllah... begitu hebat sekali kuasa Allah swt..
Tidak hairanlah bagi ibu-ibu yang mengandung sering mengadu merasakan pergerakan yang aktif pada anak mereka tiap kali baca Quran..
Buat anak umi, yang hingga kini umi sendiri tidak pasti adakah dia putera atau puteri.. namun, apapun jantinanya umi dan abi tetap tidak sabar untuk bertemu mu sayang..
Bergembiralah dikau di alam rahim sehingga cukup waktu kita untuk bertemu.. berdendanglah dengan alunan irama degupan jantung umi ya sayang... moga menjadi anak yang soleh/solehah serta hamba-NYA yang bertaqwa kelak.. aminnn...

Wednesday, December 7, 2011

Menanti hadirmu...

Alhamdulillah.. segala puji bagi Allah swt, tuhan yang selayaknya mendapat pujian..
Hari ini genap kandungan berusia 6 bulan.. gerakan dirasa semakin aktif.. kadang-kadang, kuat kata hati mau tengok apalah si anak buat dalam perut umi... subhanallah, ajaibnya ciptaan tuhan mencipta segala kejadian manusia dari alam rahim...
Jujur, hati ini mengakui semakin rasa teruja dan tidak sabar mau menanti kehadiran si kecil, bagaimanalah rupanya.. ikut umi atau abi..
Namun, di samping rasa teruja, berbaur perasaan bimbang untuk menongkah arus pada perjalanan hidup yang akan datang, andai usia masih panjang.. bagaimana untuk menjadi ibu dan pendidik yang baik untuk anak pertama ini.. mudah-mudahan daripada di alam rahim lagi anak ini sentiasa berada dalam keadaan yang baik, sihat dan dalam lindungan Allah swt, proses kelahirannya mudah.. dan semoga dewasanya dia bersama iman dan diiringi didikan yang sempurna.. insyaAllah, anakku.. akan umi usahakan untuk menjadi umi yang terbaik buatmu...