Thursday, October 6, 2011

Tuhan.. tenteramkan jiwa ini..


Adakala hati bertanya sendiri, kenapa ada saja perasaan tidak kena dalam diri..
Ada saat kita merasakan jiwa kita kosong, semua perkara yang kita lakukan tidak menentu, malah tidak menjadi.. sehingga sampai satu masa kita didatangi tekanan yang tidak diundang..
Aku sendiri mengakui, ada tekanan yang perlu dihadapi di tempat-tempat tertentu di mana aku sering bertapak.. tidak ketinggalan di pejabat.. huhh.. aku belajar untuk berhenti mengeluh dan biar keluhan itu digantikan dengan istighfar.. subhanallah, dimana-mana pun tuhan turunkan ujian. Apalah sangat ujian hati yang kita lalui berbanding hamba Allah yang menghadapi ujian fizikal dan mental di bumi palestin sana.. ujian ini juga tiada dapat menandingi dugaan rasulullah dan para sahabat di zaman nabi dulu.. itu sajalah caraku memujuk diri.. di mana pun kita berpijak hari ini, pasti kan kembali padaNYA jua.. maka tempatNYA jualah kita mengadu dan meminta..
Pernah ada seorang saudara rapat bercerita, andai ada waktu di mana kita merasakan apapun yg kita lakukan menjadi tidak kena, hati menjadi gelisah, jiwa tidak tenteram... maka tanyalah diri kita, kesalahan apa yang pernah kita lakukan pada orang lain, yang mungkin di luar sedar kita..di masa yang lalu..
Kerna masih ada hati yang tidak REDHA..
Siapa? Mungkin ibu bapa, saudara, teman rapat.. wallahualam... kita semua manusia biasa, tiada yang terlepas daripada melakukan kesilapan..
DENDAM
Ramai manusia yang tidak lepas dari perasaan marah, benci, iri sehingga melahirkan sifat dendam tanpa disedari. Sesungguhnya, sifat inilah yang meruntuhkan ummah, menghalang daripada keutuhan hubungan silaturrahim sesama umat rasulullah saw. Bila kita dalam keadaan marah, syaitan sangat suka menghimpit dan memarakkan lagi api kemarahan kita. Maka tidak hairanlah jika kemarahan daripada perkara sehalus zarah pun mampu membangkitkan perasaan dendam dalam diri kita.
Suka saya memetik hasil tulisan Amran Zakaria berkenaan sifat-sifat yang dibenci Allah...
Dengki, dendam senjata syaitan rosakkan ummah
Oleh Amran Zakaria

Sikap kasar, keras kepala serta berhati batu penghalang utama perasaan saling bermaafan AL-IMAM Al-Ghazali berpandangan bahawa iman yang sempurna adalah menyucikan hati daripada sifat keji dan menanamkan segala sifat terpuji. Hati yang bersih akan melahirkan perlakuan yang baik dan selamat pada landasan yang betul dalam amalan agama. Orang berhati bersih akan turut menjaga mulut, lidah serta perlakuannya supaya tidak melampaui batas dibenarkan agama. Hati yang sihat dan bersih mengikut tapisan agama akan menampilkan akhlak terpuji sementara hati yang kotor melahirkan keperibadian buruk dan merosakkan. Dalam satu pengajian di masjid, Rasulullah SAW ada mengkhabarkan kehadiran seorang calon penghuni syurga di tengah mereka. Orang itu tidak dikenali oleh sahabat, bahkan namanya tidak popular sebagai seorang tokoh ibadat.

Sahabat berasa cemburu dengan keistimewaan yang ada pada diri orang itu selepas Rasulullah SAW mengesahkan dirinya sebagai calon penghuni syurga. Salah seorang sahabat, Abdullah bin Amr, bertekad memantau dari dekat orang berkenaan untuk mengetahui apa keistimewaannya. Abdullah lalu meminta izin untuk bertamu di rumah orang itu selama tiga hari. Ketika menjadi tetamu, Abdullah melihat secara langsung bentuk amalan tuan rumah, gerak gerinya, tutur katanya dan cara ibadahnya. Hampir-hampir beliau tidak tidur kerana ditakuti jika ada amalan tuan rumah yang tidak dapat disaksikannya. Namun, Abdullah tidak mendapati apa-apa amalan yang istimewa berbanding sahabat lain. Amalannya biasa-biasa saja seperti diajarkan Rasulullah SAW.

Sebelum pulang, Abdullah pun bertanya secara terus akan amalan istimewa tuan rumah untuk dilakukannya. Jawabnya: "Tidak ada, selain yang engkau sudah lihat. Aku belum pernah melakukan kepalsuan terhadap siapa pun daripada kalangan umat Islam. Dan aku tidak pernah hasad (iri hati) kepada seseorang yang dianugerahi (nikmat) oleh Allah. Abdullah berkata: Itulah (sebenarnya) yang dapat meningkatkan darjatmu." Jelas perasaan dengki, dendam, marah dan perlakuan buruk kepada sesama Muslim adalah satu senjata pemusnah yang digunakan syaitan untuk memporak-perandakan hidup manusia. Lalu dibisikkan ke telinga manusia untuk menyemarakkan api kemarahan dan mendorong dendam. Perlakuan buruk itu akan menghindari kita daripada berusaha meningkatkan ukhwah dan persaudaraan, apa lagi untuk saling bermaafan sesama kita.

Sikap ini pasti menjauhi lagi hubungan silaturahim yang dituntut agama. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah daripada (hasutan) syaitan, untuk menjadikan orang beriman berduka cita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jugalah hendaknya orang beriman berserah diri." – (Surah Al-Mujadalah, ayat 58)

Justeru, penting bagi kita untuk mengawal perasaan dendam dan marah supaya terbuka pintu kemaafan di hati kita terhadap kesalahan yang dilakukan oleh pihak lain. Sikap mengawal marah ini dititikberatkan Rasulullah SAW apabila seorang sahabat meminta nasihat. Baginda bersabda yang bermaksud: "Jangan marah. Kemudian orang itu mengulangi permintaannya untuk mendapatkan nasihat. Sekali lagi Baginda SAW menjawab: Jangan Marah." – (Hadis riwayat Bukhari)

Allah juga akan memberi ganjaran besar bagi mereka yang mampu mengawal perasaan marah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa yang menahan perasaan marah sedangkan dia mampu untuk melaksanakannya (melepaskan kemarahannya), maka kelak pada hari kiamat, Allah akan memanggilnya di hadapan sekalian makhluk, kemudian disuruhnya memilih bidadari sekehendaknya." – (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)

Untuk meredakan perasaan marah terhadap seseorang, hendaklah kita fokuskan jiwa melihat seteru kita daripada sudut positif. Mungkin ada banyak perkara baik pernah dia lakukan terhadap kita dan renungkanlah secara mendalam bagi memadamkan api kemarahan yang wujud dalam jiwa. Contohnya, apabila kita marah melihat kesalahan dilakukan isteri maka hendaklah kita fokuskan perbuatan baik yang pernah dilakukannya sepanjang perkahwinan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredai akhlaknya yang lain." – (Hadis riwayat Muslim)

Perasaan marah yang tidak dapat dilenyapkan akan mewujudkan perasaan dendam. Maka hati akan berasa berat untuk memaafkan seseorang dan terbitlah perasaan benci serta ingin menjauhkan diri daripada orang itu. Perasaan dendam juga akan menyebabkan kita menghukum pihak yang melakukan kesalahan dengan pelbagai perkataan buruk hina lagi mengaibkan yang tidak patut keluar daripada lidah jika kita benar-benar beriman kepada Allah. Hendaklah kita sedaya-upaya menghindari untuk membalas kejahatan dilakukan orang lain dengan kejahatan atau mencela dan mengaibkan mereka. Jangan kita membalas celaan dengan celaan, umpatan dengan umpatan, caci-maki dengan caci-maki kerana ia hanya akan mengeruhkan suasana. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jika ada seseorang mencelamu dengan sesuatu noda yang ada dalam dirimu, maka janganlah mencelanya dengan menunjukkan suatu noda yang ada di dalam diri orang itu." –(Riwayat Imam Ahmad daripada Jabir bin Muslim)

Antara batu penghalang utama untuk kita menerapkan perasaan saling bermaaf-maafan adalah sikap yang kasar, keras kepala dan berhati batu. Oleh itu sikap lemah lembut dalam pergaulan seharian wajar menjadi sifat umat Islam terpuji. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut dan mencintai kelembutan dan Dia memberikan atas (sebab) lemah lembut apa yang tidak Dia berikan atas (sebab) kekerasan dan yang tidak yang tidak dia berikan atas (sebab) selainnya." – (Hadis riwayat Imam Muslim)

Allah menganugerahkan kepada Nabi dan Rasulnya sikap lemah lembut terhadap umat manusia dan sikap itu adalah daya tarikan terhadap dakwah mereka. Melalui sikap lemah lembut ini jugalah memunculkan sifat suka memaafkan kesalahan pihak lain. Firman Allah yang bermaksud: "Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan mohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau sudah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya." – (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dewan Amal Islam Hadhari (DAMAI)

No comments:

Post a Comment

what do you think?